PRA-MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA KE-273 -
Gambar dari FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
1. Lebih lima bulan sudah pertikaian takhta Negeri Sembilan berlarutan tanpa penyelesaian. Ketidakpastian ini bukan sekadar menjejaskan negeri tersebut, malah berisiko menghakis keyakinan rakyat terhadap Institusi DiRaja keseluruhannya.
2. Majlis Raja-Raja wajar mengambil inisiatif mengikut batasan yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Rakyat tidak meminta Kebawah Duli Tuanku-Tuanku sekelian menentukan siapa yang berhak menduduki takhta atau melangkaui bidang kuasa, tetapi membantu merintis penyelesaian yang adil dan berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri tersebut.
3. Usaha ini tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan, parti politik atau tekanan awam yang mungkin boleh memutar belitkan lagi keadaan.
4. Majlis Raja-Raja sendiri mempunyai kewibawaan moral untuk mempertemukan pihak berkaitan dan menggalakkan dialog dengan bantuan pakar bebas dalam bidang perlembagaan dan adat.
5. Matlamatnya mestilah penyelesaian yang segera dan diyakini, menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta adat istiadatnya. Jika keputusan undang-undang diperlukan, prosesnya hendaklah disegerakan dan bukan melarat berpanjangan; dan jika dialog dapat merapatkan perbezaan, usaha itu wajar disokong.
6. Rakyat berharap Majlis Raja-Raja tampil memainkan peranan yang sepatutnya dengan lebih nyata agar pertikaian ini tidak terus berlarutan.
7. Martabat Institusi DiRaja Paling Terpelihara Apabila Kebijaksanaan, Keadilan Dan Kesetiaan Kepada Perlembagaan Menjadi Pedoman.
8. Siapakah Yang Lebih Layak Memimpin Usaha Memelihara Martabat Institusi DiRaja, Jika Bukan Majlis Raja-Raja Itu Sendiri?
Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid AlHaj B Tan Sri Tengku Abdul Hamid Jumat.

No comments:
Post a Comment