1. UMNO bukan sebuah keluarga. Ia adalah wadah perjuangan. Dalam perjuangan, tiada istilah adik, abang, kakak atau bapa. Hari ini, keluarga sendiri boleh berpecah, rumah tangga boleh bercerai, tetapi perjuangan untuk Agama dan Bangsa, Insha’Allah akan hidup hingga ke hari Kiamat.
2. Maka jangan kelirukan perjuangan dengan sentimen kekeluargaan yang lemah dan rapuh.
3. Dalam UMNO juga tidak perlu ada mereka yang berlagak seperti “kakak” atau “abang” kononnya lebih tahu, lebih bijak, lebih berpengalaman daripada yang muda.
4. Tidak semua yang tua itu cerdas, dan tidak semua yang muda itu dangkal. Simpanlah nasihat lapuk dan mentaliti feudal masing-masing.
5. Zaman telah berubah. Feudalisme sedang nazak, tetapi masih ada yang enggan mencabut talian hayat dan menguburkannya.
6. Pemuda ialah nadi yang memungut denyut sentimen akar umbi.
7. Ketika Jentera Penerangan UMNO gagal berfungsi. Pemudalah yang sepatutnya mengangkat suara rakyat ke atas, dibawa ke meja keputusan, dan dimuktamadkan di Perhimpunan Agung.
8. Dan akhirnya, Pemuda wajib akur, jika benar itu kehendak akar umbi, bukan angka dongeng 3.8 juta yang entah dari mana datangnya.
9. Hakikat pahitnya, Pemuda pasca Datuk Dr Akmal Saleh kelihatan suram dan longlai. Tiada tokoh yang benar-benar terserlah, tiada keberanian yang menjeritkan perjuangan.
10. Yang ada hanyalah pemain selamat; takut hilang jawatan, takut melangkah ke hadapan, takut mengambil risiko.
11. Pemuda seperti ini bukan pejuang, tetapi pengecut berpakaian perisai perang.
12. Bandingkan dengan era AlMarhum Dato’ Harun, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Sri Najib Razak atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Nazri Tan Sri Aziz. Ketika itu, Pemuda berdiri teguh dan berani di belakang Ketua mereka.
13. Hari ini? Tiada seorang pun dalam kalangan Exco atau Pemuda negeri yang benar-benar menyatakan sokongan terbuka dibelakang Ketua mereka melainkan kenyataan yang keluar bersifat selamat dan tidak bertulang.
14. Malah ada yang keluarkan kenyataan panjang tetapi tidak tegas dibelakang ketuanya seolah-olah sedang menunggu peluang untuk melompat ke kerusi sebaik Ketua Pemuda tersungkur pula.
15. Saidina Ali bin Abi Thalib R.A. Pernah berkata: "Jika kamu ingin melihat masa depan suatu kaum, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini." Umpamanya, jika mereka bersifat “kedi” dimasakini, maka lembiklah masa depan kaum kita.
16. Presiden pertama Indonesia, Sukarno, pula pernah berkata:“Beri aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia.”
17. Kenyataan ini lahir daripada keyakinan bahawa pemuda ialah tenaga perubahan, berani, lantang dan sanggup menggadai keselesaan demi perjuangan.
18. Soalnya hari ini, adakah UMNO masih memiliki walau 10 pemuda seperti itu selain Dr Akmar seorang?
19. Jika inilah wajah dan jiwa Pemuda UMNO, pemain selamat, oportunis dan tanpa prinsip, maka jangan bermimpi tentang masa depan UMNO.
20. Parti ini tidak akan menjadi peneraju, sebaliknya sekadar jadi “house boy” kepada kerajaan-kerajaan akan datang.
Allahu Alam.
Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat
Ahli UMNO: 01053559
No comments:
Post a Comment