Sunday, November 2, 2008

POLITIK WANG (WANG POLITIK) ATAU RASUAH? KEKUATAN UMNO TERGUGAT




Oleh kolumnis undangan: Jamaluddin Mansor, Ketua UMNO Cawangan Jalan Sulaiman, Bahagian Bukit Bintang

Dalam keghairahan atau kerancakan UMNO mengadakan pemilihan kepemimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya peringkat Majlis Tertinggi (MT) tahun ini, maka muncul sekali lagi berita melalui akhbar-akhbar dan cakap-cakap di kalangan pemimpin dan pengikut parti di seluruh negara mengenai gejala politik wang.

Kenyataan akhbar beberapa pemimpin kanan parti meningkatkan keresahan pencinta parti yang amat takut terhadap kesan-akibatnya. Malah, tahun ini kira-kira 500 kes sudah dihantar kepada Lembaga Disiplin untuk siasatan dan jumlah itu dipercayai hanya “tip of the iceberg”. Perkara ini juga meningkatkan kekhuatiran pencinta parti walaupun ada segelintir pemimpin yang cuba meremehkan perkara itu.

Kesimpulannya, gejala politik wang sememangnya tidak dapat dinafikan kewujudannya. Persoalan yang harus dijawab segera ialah berapa banyak bahagian dan cawangan di seluruh tanah air yang dihantui gejala itu.

Politik wang atau wang politik sudah lebih dua dekad diamalkan dalam UMNO dan ia memuncak sewaktu pemilihan pemimpin UMNO. Setelah kian lama bertapak dan berakar umbi, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa gejala itu sudah menjadi budaya atau amalan yang diterima dalam UMNO.

Ramai ahli yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam parti menyatakan kalau tidak memberi wang, hampir pasti mereka tidak akan mendapat undi. Maka mereka yang mahu menang dalam sesuatu pemilihan jawatan berkata, mereka terpaksa melakukannya walaupun hati kecil mereka melarang berbuat demikian.

Peraturan serta badan yang ditubuhkan untuk mendisiplinkan ahli-ahli, nampaknya tidak berkesan. Yang penting bagi mereka ialah mendapat sokongan untuk menang jawatan yang ditandingi.

Jelas juga, bahawa majoriti ahli-ahli UMNO yang mengamalkan politik wang tidak mengerti atau memandang remeh terhadap kesan buruk gejala perbuatan mereka itu.

Adalah amat menakutkan kerana gejala politik wang itu boleh memberi kesan buruk kepada UMNO dalam konteks sebuah organisasi, UMNO sebagai tunggak pemerintah negara dan akhirnya kepada diri mereka sendiri.

Mereka tidak dapat menghayati bahawa gejala politik wang akan hanya memberi ruang kepada individu yang sebenarnya tidak mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang sejagat untuk menguasai hala tuju dan arah perjuangan UMNO dan negara.

Di kalangan pemimpin yang jujur dan berjiwa rakyat, mereka hanya menjadi penonton kepada percaturan ini.

Antara punca kurang penghayatan berhubung isu yang kian parah ini ialah kegagalan menimba ilmu secara menyeluruh. Mereka tidak dapat menghayati sejarah, tidak dapat mengaitkan bahawa punca kejatuhan empayar purba atau kejatuhan sesebuah organisasi antaranya adalah akibat amalan politik wang iaitu rasuah.

Jelas, penghayatan agama mereka juga adalah cetek. Justeru itu maka ramai ahli tidak menyedari bahawa amalan politik wang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan contoh kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w.

Setengah ahli membaca Surah al-Alaq (Iqra’) tapi tidak ada penghayatan terhadapnya. Walaupun terdapat segelintir yang mengetahuinya, tetapi pemikiran mereka berpaksi kepada desakan hawa nafsu.

Malah, mereka bersolat, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji pun sebenarnya tidak mengamalkan kehidupan secara Islam. Apa yang mereka lafazkan dalam solat sebagaimana terkandung dalam doa ifititah (Hidup ku, Mati ku, Solat ku adalah kerana ingin keredaan Allah s.w.t.) tidak diterjemahkan dalam kehidupan seharian mereka.

Keterperincian cara hidup bahagia yang di anjurkan oleh Rasullullah s.a.w diketepikan. Yang diisi adalah cara hidup ala budaya barat yang berpaksi kepada falsafah “hedonisme”. Hidup senang dikaitkan dengan perolehan harta dan seterusnya pangkat.

Yang berjaya adalah mereka yang mempunyai pangkat dan harta yang banyak. Mereka tidak peduli bagaimana pangkat atau harta itu diperolehi. Jauh sekali mereka memikirkan sama ada perolehan itu haram atau halal. Bagi mereka yang mengetahuinya sekali pun, amaran Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. diperkecil-kecilkan.

Kesimpulannya amat sedikit ahli UMNO menghayati sepenuhnya agama Islam, agama yang sebenarnya membawa kegembiraan kepada sesiapa yang mengamalkannya dalam kehidupan.
Persoalannya apa perlu dilakukan untuk mengurang, malah menghapuskannya kerana sudah jelas ia membawa kecelakaan kepada perjuangan UMNO. Perlembagaan UMNO jelas mencatat perjuangan UMNO untuk mempertahankan Islam dan mengangkat martabat bangsa Melayu dan negara.

Sebelum persoalan ini dijawab, ia amat perlu dikupas mengenai bagaimana dan mengapa politik wang menjadi budaya dalam UMNO.

1. Perkataan politik wang itu sendiri tidak melambangkan bahawa ia sebenarnya rasuah, apatah lagi perkataan itu tidak melambangkan erti “khianat”. Sebaliknya, ramai ahli mentakrifkan ia sebagai hadiah atau imbuhan atas usaha politik mereka. Disebabkan perkataan politik wang itu bukan bermakna rasuah atau pengkhianatan, mereka berpendapat apa salahnya mereka menerima sedikit wang daripada titik peluh mereka berusaha menghadiri upacara atau perjumpaan yang diaturkan. Mereka juga berpendapat bahawa ahli yang bertanding sudah tentunya akan memperoleh kekayaan dengan jawatan yang mereka menang. Mereka melihat bahawa ahli-ahli yang dulunya miskin atau berkedudukan sederhana mengubah corak hidup selepas mendapat jawatan dalam parti. Berikutan persepsi ini, mereka tidak mahu berfikir jauh dan lebih mendalam tapi sekadar mengikut dorongan nafsu untuk menerima hadiah atau wang yang dihulurkan. Justeru itu, mereka tidak dapat berasakan bahawa politik wang akan memporak-perandakan perjuangan parti yang sudah tentunya menjadi lemah.

2. Ramai ahli-ahli kabur untuk menilai siapa yang layak menjadi pemimpin mereka sebagaimana mereka tidak dapat membezakan wang kopi, hadiah atau politik wang. Ini berlaku kerana kurangnya penghayatan agama, menyebabkan pesanan pesan Rasulullah s.a.w. mengenai ciri-ciri atau sifat pemimpin iaitu pemimpin perlu dinilai dari sudut siddiq (benar segala perkataan), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan segala perintah Allah s.w.t.) dan fatanah (pintar dalam segala hal), kurang mendapat perhatian.

3. Ramai juga ahli membuat pemilihan mengikut pengalaman peribadi seperti seseorang pemimpin menolong untuk mendapatkan misalnya biasiswa untuk anaknya yang tidak berkelayakan atau sebaliknya pula menolak seseorang pemimpin yang tidak membantunya untuk mendapatkan sesuatu kontrak. Amat kurang penilaian dibuat mengenai adakah itu cara yang dibenarkan. Cita rasa mereka menjadi keutamaan dalam pemilihan. Mereka berasakan, sebagai ahli UMNO mereka lebih layak mendapat kontrak atau biasiswa daripada mereka yang bukan ahli UMNO. Pemimpin yang tidak memberi kontrak atau biasiswa atau imbuhan lain kepada mereka dicemuh. Perbandingan cara ini sering didengar terkeluar dari mulut ahli-ahli UMNO. Mereka kurang menilai kebolehan dan kejayaan pemimpin dalam mencetuskan sesuatu dasar untuk kebaikan seluruh masyarakat.

4. Ada juga yang memilih pemimpin berpandukan kepada ketaatan kepada pemimpin tanpa menilai ciri kepimpinan seseorang. Mereka taksub kepada pemimpin.

5. Ramai juga memilih pemimpin kerana dibayangi kemudahan seperti pekerjaan, bisnes dan sebagainya apabila pemimpin berkenaan menang dalam pemilihan.

6. Hukuman yang diturunkan oleh Lembaga Disiplin bersifat pemulihan (“rehabilitative”) dan bukan pencegahan (“preventive”). Malah, ramai mengetahui kekurangan (“shortcomings”) Lembaga Disiplin dari sudut kemahiran kakitangan untuk menyiasat dan bilangan pegawai yang melaksanakan tugas pun berkurangan berbanding kes-kes yang di rujuk kepada lembaga itu. Mereka tidak perlu takut kepada hukuman kerana ia hanya melibatkan penggantungan jawatan atau kelayakan bertanding untuk sementara waktu. Ramai juga berkeyakinan bahawa rayuan boleh meringkan hukuman.

7. Fenomena baru yang dikesan adalah budaya melancong ke destinasi pelancongan di dalam negara dan juga luar negara. Setengah pemimpin yang berhajat untuk mengukuhkan pengaruh akan mengatur lawatan rombongan ke destinasi seperti Medan, Jakarta dan di mana-mana negara lain atau destinasi di dalam negara mengikut kemampuan mereka. Ada juga mengatur lawatan ke destinasi yang lebih jauh. Semua lawatan dilabelkan “lawatan sambil belajar”. Lawatan ini dilaksanakan sepanjang masa sebelum musim pertandingan.

8. Pada musim pertandingan pula, ganjaran percutian turut ditawarkan kepada ahli-ahli tertentu. Lawatan ini dibuat dengan niat agar perwakilan itu tidak hadir pada hari mesyuarat diadakan dan sekali gus tidak mengundi calon lawannya. Dengan cara ini calon yang menganjurkan percutian itu dapat mengurangkan undi pesaing walaupun tidak menambah undi dirinya sendiri.

Segala alasan yang digunakan ahli dalam pemilihan pemimpin adalah tidak selari dengan amalan sejagat, malah melanggar peraturan agama khususnya memberi kesan dan akibat yang buruk kepada semua.

Akhirnya, orang yang dipilih menjadi pemimpin adalah mereka yang tidak berjiwa masyarakat. Pemimpin yang lemah akal dan budi dan paling dashyat ialah pemimpin yang mengagungkan budaya barat yang liberal dan bertentangan dengan ajaran Islam. Bagaimana mereka hendak memperjuanghkan Fasal 3 Perlembagaan UMNO?

Keberkesanan UMNO menangani masalah gejala politik wang semakin rumit untuk dibendung. Hari ini sudah ramai pencinta UMNO meramalkan keruntuhan UMNO. Apa yang dapat menyelamatkan UMNO yang sedang dalam keadaan cemas dan tenat adalah kebangkitan semangat kekitaan dan menterjemahkan budaya yang sihat lagi murni.

Tidak ada peraturan atau perundangan yang dapat digubal untuk membendung gejala ini secara menyeluruh kerana sifat ahli-ahli pengamal gejala rasuah akan sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya.

Oleh itu, ahli-ahli UMNO yang masih mempunyai semangat kekitaan perlu memperluaskan pengaruh mereka demi menyelamat parti dari hanyut dibawa arus gejala rasuah.
Masa semakin hampir, pilihan raya ke-13 tidak lama lagi dan rakyat akan menentukan kejatuhan UMNO kerana sifat rasuah ahli UMNO. Maka tercabut lagi taring UMNO yang sudah kian lama berjaya membangunkan negara dan bangsa Melayu.

Ahli-ahli UMNO perlu menjadikan pencegahan amalan politik wang, sebenarnya rasuah, agenda utama mereka bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

Datuk Jamaluddin Mansor adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Wilayah Persekutuan. Beliau adalah juga Ketua Pengarang Majalah Milenia Muslim, Forward dan Aniqah.

8 comments:

ZulB said...

as-Salamu alaykum,

Tahap keimanan ahli UMNO, kebanyakannya, makin tipis sebenarnya.Mereka mengejar dunia dan segala dalamnya. Lihat QS102:1-8.Malangnya mereka inilah yang memilih pemimpin negara dari kalangan mereka. The blind leading the blind, is it?

TPJ said...

Alaikum Salam Saudara Zulb,

Apabila duit dan kontrak kerajaan dilambai di muka manusia dizaman ini, bukan sahaja ahli UMNO yang tergelincir dari akidahnya, malah jawatankuasa masjid pun boleh tergoncang nafsunya.

Allahu Alam.

delina said...

assalam sdr tpj,
assalam sdr JM.

Rasa saya semasa seminar pinjaan perlembagaan umno di bangi beberapa tahun silam sudah di putuskan supaya politik wang di tukar panggilan nya RASUAH POLITIK. pengerusi pindaan ini rasa nya TS muhyiddin sendiri.

kami di janjikan usul ini diguna pakai sejak itu.

tentan rasuah politik yang berlaku sekarang ni ianya berlaku seolah-oleh tanpa nya tidak laku lah calon ini. Seorang pegawai salah seorang calon Pemuda mengesahkan bahawa kalau boss saya tak tabor mana boleh dapat pencalonan uncle!!!!!

nasihat saya pada nya hentikan segera rasuah ini.

Percaya lah... kalau ia tidak memakan diri, rasuah ini lah punca kehancuran bangsa melayu.

terima kasih.

IBRAHIM THAMBYCHIK

Ahmad A Talib said...

Sdra,

Saya percaya penulis memang mengetahui selok belok politik wang dengan lebih terpeinci dari apa yang ditulisnya. Dari pengamatan saya, masalah politik wang atau rasuah politik sudah sukar dibendong lagi. Ini merebak luas. Saya percaya politik wang akan menjadi punca utama keruntuhan Umno. Setelah banyak teguran dibuat, politik wang terus hidup segar. Mereka yang dilihat sebagai pemimpin yang bersih juga akhirnya terjebak dengan saknika rasuah politik.`Saya percaya parti politik lain di negara ini juga mengamalkan politik wang. Bezanya cuma satu - berapa banyak wang digunakan dan berapa kerap pula ia diamalkan. Dalam politik persepsi melebihi realiti. Hari ini, politik wang bukan lagi persepsi. Hanya pemimpin yang berpegang teguh kepada tali Allah sahaja yang tidak mengamalkan rasuah politik. Soalnya, adakah pemimpin sedemikian di kalangan barisan pemimpin tanahair?

Salam!

jamal mansor said...

Dato Ahmad Talib,

Terima kasih atas komen Dato.

Ramai sedia maklum bahawa perwakilan UMNO mengetahui tentang bahaya poilitk wang tapi yang amat sayang sekali tidak mengendahkan kesannya, malah amat ghairah bercakap mengenai perolehan mereka.

Rencana saya bermaksud untuk memberi tahu tentang betapa kreatifnya pengamal politik wang ini.

Pada hakikatnya hati kebanyakan pengamal politik wang tertutup dengan desakan nafsu.

Rasulullah s.a.w berpesan tentang peperangan yang amat besar dihadapi oleh umatnya iatu peperangan melawan nafsu. Jelas nampaknya pengamal politik wang memekakan telinga mereka.

Malang seribu malang segala usaha untuk membendungnya dalam UMNO tempoh hari tidak nampak berkesan. Berbagai keterangan telah dibuat tentang gejala ini tapi masuk telinga kanan dan terus keluar telinga kiri.

Harapan memulihkan UMNO dipikul atau bersandar kepada kumpulan kecil pencinta UMNO sahaja. Mereka sudah tentu akan menghadapi perjuangan yang berliku lagi berduri.

Sadiq said...

politik wang patut sama macam rasuah. takde definasi lain. Mana boleh terima/bagi duit untuk jawatan di justifikasi halal atau boleh?

Patutnya hukumannya sama macam orag lain yg makan rasuah iaitu PENJARA!!

Kalau setakat blacklist, suspended.. sesiapa pun tak takut.

Orang yg bagi/terima rasuah ni sebenarnya menyokong kejatuhan UMNO. Di satu hari nanti bila UMNO dah pupus, orang sebegini yg akan menyalahkan orang lain dulu!!!

jamal mansor said...

Saudara Sadiq

Terima kasih atas pandangan saudara.

Memang istilah sebenar politik wang ialah rasuah.

Malang semasa mengubal buku etika UMNO, pemimpin tertentu ragu atau takut mengunakan perkataan rasuah.

Dalam konteks Islam, rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan khianat dan hukuman setimpal atau sewajarnya ialah hukum bunuh dan bukan penjara.

Khianat atau "treason" dalam sistem perundangan barat juga membawa hukuman bunuh.

Negara Cina telah pun mengamalkan hukum tembak sampai mati kepada sesiapa yang berasuah kerana hasrat membendung angkara ini. Peluru untuk membunuh perasuah perlu di beli oleh keluarga perasuah sendiri.

Berita ini tersiar dalam surat khabar tempatan tidak beberapa lama dahulu.

aman said...

Salam DJM,

Sincere appreciation for putting up a serious article ‘Rasuah’ known to many followed by a few and adhered by none. What make a nation are its people and what we see today is Malaysia being treated like a dumping ground. Remember how foreigners start to throw garbage when they start entering Malaysia? We can find this ‘Bakul Sampah’ everywhere and it is very much alive in ‘Sarkas’.

-aman-