Tuesday, August 28, 2012

“PENYATUAN ORANG MELAYU” – USUL POLITIK UMNO BAHAGIAN PULAI



PULAI


Mukaddimah Usul
Mengetahui : UMNO sebagai parti terbesar yang menjadi tunggak dalam memikul amanah serta tanggungjawab terhadap masa depan anak bangsa dan negara. Jika negara berjaya,  UMNO berhak berbangga.  Tetapi jika gagal,  maka secara tidak langsung, kegagalan ini merupakan kegagalan UMNO. Para pemimpin dan ahli UMNO perlu menyedari betapa perjuangan parti adalah lebih besar dan lebih utama daripada kepentingan diri. Para pemimpin dan ahli UMNO juga perlu sedar bahawa kunci kejayaan parti adalah bersatu dan bermuafakat dalam apa juga tindakan supaya perjuangan UMNO tidak boleh dipersoal atau digugat oleh mana-mana pihak.
Menyedari : Pilihanraya umum ke 12 yang lalu telah banyak mendedahkan kelemahan serta kepincangan dalam UMNO melalui kepimpinan diwaktu itu malah lebih membimbangkan lagi tidak hanya kalangan parti-parti komponen telah berani mempersoal beberapa isu sensitif tetapi orang-orang bukan Melayu juga telah berani bersuara memperjuangkan hak kaum masing-masing menerusi kontrak sosial, perlembagaan, dasar ekonomi baru malah telah berani mempersoalkan kewibawaan UMNO dalam memimpin rakyat dan negara ini.
Justeru : Para pemimpin dan ahli UMNO perlu insaf dan muhasabah akan apa yang telah berlaku dan bersedia untuk melaksanakan perubahan drastik demi untuk masa depan serta kelangsungan UMNO sebagai parti utama dalam pemerintahan negara. Utamakanlah perjuangan parti.
Maka : Dengan ini saya selaku Naib Ketua mewakili UMNO Bahagian Pulai mohon membentangkan usul dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pulai pada hari ini, Ahad, 26hb Ogos 2012 bersamaan 8 Syawal 1433H.

USUL POLITIK
8 Mac 2008, tarikh yang wajib terpahat dalam minda setiap orang Melayu khususnya para pemimpin dan ahli UMNO. Jika 24 Ogos 1511 sering diingati sebagai tarikh jatuhnya kesultanan Melaka kepada Portugis diikuti zaman kegelapan selama 501 tahun, apakah 8 Mac 2008 permulaan fasa kedua kejatuhan Melayu dan secara tidak langsung UMNO sebagai parti keramat orang Melayu ?
Lima tahun yang lalu, kita merayakan 50 tahun ‘Malaysiaku Gemilang' tetapi kegemilangan yang dikecapi mula terdapat retak dan mulai runtuh. Rupa-rupanya kecemerlangan yang kita warisi semenjak 1957 begitu rapuh dan tidak kukuh.
Sehingga ke hari ini, di saat kita hendak merayakan kemerdekaan negara kali ke 55, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu begitu segan ataupun rasa malu untuk mengibarkan jalur gemilang.
Sebelum kita mula menunding untuk mencari salah siapa, moleklah kita sempena hari di bulan yang mulia ini, sama-sama kita muhasabah diri, menilai kepincangan diri dan parti yang kita pertahan dan berjuang selama ini.
Dalam kita sibuk 'berlaga' sesama kita, bagai menangguk di air keruh, satu persatu kewibawaan serta hak bangsa dipersoal. 
Hinanya bila tiada pemimpin bangkit bersilat mempertahan apa yang diperkata. Pernah suatu ketika, ada yang mahu dilihat sebagai pendekar menjulang dan membawa keris ke hulu dan ke hilir tetapi akhirnya melulut memohon maaf kerana menjaga hati dan nama.
Pernah juga seorang panglima pulau mutiara dihukum kerana berbicara, mengecam orang yang mempersoalkan hak melayu dan keistimewaannya.
Akhirnya, bagai orang mengantuk disorong bantal, mereka terus persoal hak serta keistimewaan Melayu, malah ada yang pernah mengatakan Melayu juga pendatang dan sekiranya hendak disenaraikan apa yang berlaku selepas "tsunami 2008" sehingga ke saat ini mengenai apa juga isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka samada dari kalangan parti Komponen atau dari pihak pembangkang, maka kita akan lebih kepada melihat kesalahan pihak mereka dari mencari punca apa yang menyebabkan mereka telah begitu lantang bersuara, bersemangat dan berani mencabar kita.
Ingatlah orang lain jadi berani, begitu yakin dan bersuara kerana kita tidak bersatu dan lemah. Ingatlah kemenangan tipis dalam PRU 12 lalu bukan kerana pembangkang kuat tetapi kerana kita berpecah, sombong dan tidak jujur dalam memperjuangkan amanah Agama, Bangsa, Parti dan Negara. Rakyat terutama orang Melayu sendiri menjadi bosan dan marah kepada kita.
Jika kita terus bersengketa, tidak insaf, tidak mahu muhasabah dan muafakat dalam menyelesaikan konflik dalaman, percayalah UMNO akan mengalami nasib yang sama seperti yang telah menimpa parti Congres di India dan Golkar di Indonesia. Naudzubillah.
Perlu juga kita insafi, hanya UMNOlah parti keramat yang dapat membela nasib Agama suci Islam dan bangsa Melayu dengan sebaik-baiknya. Janganlah kita perjudikan apatah lagi merelakan pihak lain terutamanya parti Melayu lain daripada mengambil alih peranan yang telah digalas dengan baik oleh UMNO selama 66 tahun ini.
Terbukti dan sudah diuji, UMNO sahajalah dengan izin Allah SWT yang dapat menjamin kesejahteraan, keamanan dan keadilan kepada semua bangsa dan agama. Walaupun kita parti Melayu, kebajikan dan hak bangsa lain tidak pernah kita pinggirkan. Dalam kita menjaga kebajikan bangsa Melayu, kita tidak pernah pula menidakkan hak-hak dan hal ehwal bangsa-bangsa lain. Kejaguhan UMNO di dalam menunjangi pembahagian kuasa yang adil malahan kadangkala tidak memihak kepada bangsa Melayu itu sendiri adalah suatu tangkal dan azimat yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana parti lain.
Janganlah kita berangan-angan untuk mendapatkan faedah yang sama jika bukan UMNO yang berkuasa. Sekali lagi sidang perwakilan yang saya hormati, insaflah bahawasanya jika tampuk pemerintahan, kita serahkan kepada pihak lain, alamat keadilan dan penghormatan yang kita kecapi selama ini akan turut terancam, dan merupakan sebuah tindakan yang sangat berisiko.
Ingatlah PRU 13 adalah penentu samada UMNO dan parti Melayu akan terus kekal memerintah atau menjadi kenangan dalam lipatan sejarah tanah air. Naudzubillahiminazaliq.
Ingatlah PRU 13 adalah penentu samada teori RAHMAN itu akan berakhirnya Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri Malaysia. Naudzubillahiminazaliq.
Tepuk dada, tanya selera.
Janganlah angka 13 ini menjadi angka yang malang kepada kita. Cukuplah angka 12 yang telah memberi tanda dan amaran awal kepada UMNO dan orang Melayu.
Menyedari akan hakikat ini, dengan rasa insaf dan rendah diri, saya mewakili UMNO Bahagian Pulai yang bersidang pada 26 Ogos 2012/ bersamaan 8 Syawal 1433H ingin mengusulkan :
Meminta semua pemimpin dan ahli bersatu memulihkan kembali keyakinan rakyat khasnya dan dunia umumnya kepada UMNO dan pemerintahan negara serta memberi perhatian sepenuhnya kepada PRU 13 kerana kestabilan politik memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan negara.
Orang Melayu dan umat Islam wajib bersatu demi kesinambungan kepimpinan kita kerana sudah terbukti yang hanya kita sahaja yang boleh memelihara kedudukan agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu serta menjaga hak2 rakyat yang berbilang kaum dengan adil di bumi yang bertuah ini sebagaimana yang termaktub didalam perlembagaan negara dan juga dituntut oleh agama Islam.
Meminta semua pemimpin dan ahli UMNO menghormati segala keputusan Majlis Tertinggi khususnya dalam menentukan calon-calon yang akan bertanding dan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan hormatnya ahli-ahli dan rakyat terhadap mesyuarat majlis tertinggi dan ahli-ahli majlis.
Para pemimpin dan ahli UMNO mesti membuat perubahan drastik dan holistik dengan memberi keyakinan, peluang dan ruang kepada barisan pemimpin muda untuk memulih, mengembang dan menjana idea serta input baru supaya UMNO akan terus relevan, berinovatif dan berdaya saing bagi menghadapi cabaran samada di peringkat negara mahupun antarabangsa.
Meminta kerajaan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keharmonian dan ketenteraman awam serta yang menyentuh isu-isu sensitif yang terkandung dalam kontrak sosial, perlembangaan atau dasar-dasar yang telah diputuskan.
Pengorbanan kita kali ini adalah lebih besar. Perjuangan kita masa kini adalah lebih penting. Tugas kita kali ini adalah lebih berat. Kita perlu ketepikan semua niat yang berunsur peribadi. Semua rasa hasad dengki, semua cerita lama, apa yang tidak kena atau yang tidak dibuat dahulunya, harus ditolak ke tepi! Kepimpinan yang diterajui bangsa kita mungkin berada di tahap nyawa-nyawa ikan; lompat ke darat mati, jatuh ke lumpur lumpuh!
Ini bukan masanya untuk kita serahkan sebulat-bulatnya kepada Taqdir kerana Allah SWT akan membantu kaum yang berusaha untuk membantu dirinya sendiri.
Ini bukan masanya untuk kita congak dan harap-harap mengena.
Kita perlu atur, bersatu baru bertawakal Al-Allah untuk memastikan calon UMNO khususnya dan Barisan Nasional amnya kita dahulukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Bismillahirrahmanir Rahim.
"Boleh Jadi Kamu Membenci Sesuatu, Padahal Ia Amat Baik Bagimu, Dan Boleh Jadi Pula Kamu Menyukai Sesuatu, Padahal Ia Amat Buruk Bagimu, Allah Mengetahui, Sedang Kamu Tidak Mengetahui."  
Sadaqallahal Adzim.

Dengan maksud Firman ini,
Dengan penuh Taqzim dan Taatsetia, saya mewakili UMNO Bahagian Pulai, mohon mencadang.

Sekian, Wasallam .
Saya yang menjalankan tugas,
Tengku Putra Haron Aminurrashid 
B Tan Sri Tengku Abdul Hamid Jumat,  
(Naib Ketua UMNO Bahagian Pulai,      
Johor Darul Taqzim).

1 comment:

DFCS said...

Assalam,

Satu kupasan dan isi penceritaan usul yang sungguh baik. Saya terpau untuk meneruskan pembacaan artikel ini apabila ia benar-benar menyentap seketika jiwa saya atas isi kandungan yang dikupas oleh penulis. Majoriti pemimpin UMNO yang sebaris dengan penulis tidak ada kesedaran sebegini sehingga acapkali menggusarkan YAB Perdana Menteri. Pada hemat saya, YAB PM adalah seorang pemimpin kaliber yang cukup bersungguh dalam langkah dan kerja politik beliau. Yang menyedihkan barisan kabinetnya sangat usang dan sudah luput usia relevannya. Saya mahu orang seperti penulis, mara kehadapan, diberi mandat dan tempat yang boleh memberi impak kepada rakyat. teruskan usaha, kuat lagi bekerja, yang lain serahkan lah kebijaksanaan kepada YAB Perdana Menteri.