Mengetahui : UMNO sebagai parti terbesar yang
menjadi tunggak dalam memikul amanah serta tanggungjawab terhadap masa depan
anak bangsa dan negara. Jika negara berjaya,
UMNO berhak berbangga. Tetapi
jika gagal, maka secara tidak langsung,
kegagalan ini merupakan kegagalan UMNO. Para pemimpin dan ahli UMNO perlu
menyedari betapa perjuangan parti adalah lebih besar dan lebih utama daripada
kepentingan diri. Para pemimpin dan ahli UMNO juga perlu sedar bahawa kunci
kejayaan parti adalah bersatu dan bermuafakat dalam apa juga tindakan supaya
perjuangan UMNO tidak boleh dipersoal atau digugat oleh mana-mana pihak.
Menyedari : Pilihanraya umum ke 12 yang lalu telah
banyak mendedahkan kelemahan serta kepincangan dalam UMNO melalui kepimpinan diwaktu itu malah lebih
membimbangkan lagi tidak hanya kalangan parti-parti komponen telah berani
mempersoal beberapa isu sensitif tetapi orang-orang bukan Melayu juga telah
berani bersuara memperjuangkan hak kaum masing-masing menerusi kontrak sosial,
perlembagaan, dasar ekonomi baru malah telah berani mempersoalkan kewibawaan
UMNO dalam memimpin rakyat dan negara ini.
Justeru : Para pemimpin dan ahli UMNO perlu insaf
dan muhasabah akan apa yang telah berlaku dan bersedia untuk melaksanakan
perubahan drastik demi untuk masa depan serta kelangsungan UMNO sebagai parti
utama dalam pemerintahan negara. Utamakanlah perjuangan parti.
Maka : Dengan ini saya selaku Naib Ketua mewakili
UMNO Bahagian Pulai mohon membentangkan usul dalam mesyuarat perwakilan UMNO
bahagian Pulai pada hari ini, Ahad, 26hb Ogos 2012 bersamaan 8 Syawal 1433H.
USUL POLITIK
8 Mac 2008, tarikh yang wajib terpahat dalam minda
setiap orang Melayu khususnya para pemimpin dan ahli UMNO. Jika 24 Ogos 1511
sering diingati sebagai tarikh jatuhnya kesultanan Melaka kepada Portugis
diikuti zaman kegelapan selama 501 tahun, apakah 8 Mac 2008 permulaan fasa
kedua kejatuhan Melayu dan secara tidak langsung UMNO sebagai parti keramat
orang Melayu ?
Lima tahun yang lalu, kita merayakan 50 tahun
‘Malaysiaku Gemilang' tetapi kegemilangan yang dikecapi mula terdapat retak dan
mulai runtuh. Rupa-rupanya kecemerlangan yang kita warisi semenjak 1957 begitu
rapuh dan tidak kukuh.
Sehingga ke hari ini, di saat kita hendak merayakan
kemerdekaan negara kali ke 55, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu begitu
segan ataupun rasa malu untuk mengibarkan jalur gemilang.
Sebelum kita mula menunding untuk mencari salah
siapa, moleklah kita sempena hari di bulan yang mulia ini, sama-sama kita muhasabah
diri, menilai kepincangan diri dan parti yang kita pertahan dan berjuang selama
ini.
Dalam kita sibuk 'berlaga' sesama kita, bagai
menangguk di air keruh, satu persatu kewibawaan serta hak bangsa
dipersoal.
Hinanya bila tiada pemimpin bangkit bersilat
mempertahan apa yang diperkata. Pernah suatu ketika, ada yang mahu dilihat
sebagai pendekar menjulang dan membawa keris ke hulu dan ke hilir tetapi
akhirnya melulut memohon maaf kerana menjaga hati dan nama.
Pernah juga seorang panglima pulau mutiara dihukum
kerana berbicara, mengecam orang yang mempersoalkan hak melayu dan
keistimewaannya.
Akhirnya, bagai orang mengantuk disorong bantal, mereka terus
persoal hak serta keistimewaan Melayu, malah ada yang pernah mengatakan Melayu
juga pendatang dan sekiranya hendak disenaraikan apa yang berlaku selepas "tsunami 2008" sehingga ke saat ini mengenai apa juga isu-isu yang dibangkitkan
oleh mereka samada dari kalangan parti Komponen atau dari pihak pembangkang,
maka kita akan lebih kepada melihat kesalahan pihak mereka dari mencari punca
apa yang menyebabkan mereka telah begitu lantang bersuara, bersemangat dan
berani mencabar kita.
Ingatlah orang lain jadi berani, begitu yakin dan
bersuara kerana kita tidak bersatu dan lemah. Ingatlah kemenangan tipis dalam PRU
12 lalu bukan kerana pembangkang kuat tetapi kerana kita berpecah, sombong dan
tidak jujur dalam memperjuangkan amanah Agama, Bangsa, Parti dan Negara. Rakyat
terutama orang Melayu sendiri menjadi bosan dan marah kepada kita.
Jika kita terus bersengketa, tidak insaf, tidak
mahu muhasabah dan muafakat dalam menyelesaikan konflik dalaman, percayalah UMNO
akan mengalami nasib yang sama seperti yang telah menimpa parti Congres di
India dan Golkar di Indonesia. Naudzubillah.
Perlu juga kita insafi, hanya UMNOlah parti keramat
yang dapat membela nasib Agama suci Islam dan bangsa Melayu dengan
sebaik-baiknya. Janganlah kita perjudikan apatah lagi merelakan pihak lain
terutamanya parti Melayu lain daripada mengambil alih peranan yang telah
digalas dengan baik oleh UMNO selama 66 tahun ini.
Terbukti dan sudah diuji, UMNO sahajalah dengan
izin Allah SWT yang dapat menjamin kesejahteraan, keamanan dan keadilan kepada
semua bangsa dan agama. Walaupun kita parti Melayu, kebajikan dan hak bangsa
lain tidak pernah kita pinggirkan. Dalam kita menjaga kebajikan bangsa Melayu,
kita tidak pernah pula menidakkan hak-hak dan hal ehwal bangsa-bangsa lain.
Kejaguhan UMNO di dalam menunjangi pembahagian kuasa yang adil malahan kadangkala
tidak memihak kepada bangsa Melayu itu sendiri adalah suatu tangkal dan azimat
yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana parti lain.
Janganlah kita berangan-angan untuk mendapatkan
faedah yang sama jika bukan UMNO yang berkuasa. Sekali lagi sidang perwakilan
yang saya hormati, insaflah bahawasanya jika tampuk pemerintahan, kita serahkan
kepada pihak lain, alamat keadilan dan penghormatan yang kita kecapi selama ini
akan turut terancam, dan merupakan sebuah tindakan yang sangat berisiko.
Ingatlah PRU 13 adalah penentu samada UMNO dan
parti Melayu akan terus kekal memerintah atau menjadi kenangan dalam lipatan
sejarah tanah air. Naudzubillahiminazaliq.
Ingatlah PRU 13 adalah penentu samada teori RAHMAN
itu akan berakhirnya Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Naudzubillahiminazaliq.
Tepuk dada, tanya selera.
Janganlah angka 13 ini menjadi angka yang malang
kepada kita. Cukuplah angka 12 yang telah memberi tanda dan amaran awal kepada UMNO
dan orang Melayu.
Menyedari akan hakikat ini, dengan rasa insaf dan
rendah diri, saya mewakili UMNO Bahagian Pulai yang bersidang pada 26 Ogos
2012/ bersamaan 8 Syawal 1433H ingin mengusulkan :
Meminta semua pemimpin dan ahli bersatu memulihkan
kembali keyakinan rakyat khasnya dan dunia umumnya kepada UMNO dan pemerintahan
negara serta memberi perhatian sepenuhnya kepada PRU 13 kerana kestabilan
politik memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan
negara.
Orang Melayu dan umat Islam wajib bersatu demi
kesinambungan kepimpinan kita kerana sudah terbukti yang hanya kita sahaja yang
boleh memelihara kedudukan agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu serta
menjaga hak2 rakyat yang berbilang kaum dengan adil di bumi yang bertuah ini
sebagaimana yang termaktub didalam perlembagaan negara dan juga dituntut oleh
agama Islam.
Meminta semua pemimpin dan ahli UMNO menghormati
segala keputusan Majlis Tertinggi khususnya dalam menentukan calon-calon yang
akan bertanding dan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan
kredibiliti dan hormatnya ahli-ahli dan rakyat terhadap mesyuarat majlis
tertinggi dan ahli-ahli majlis.
Para pemimpin dan ahli UMNO mesti membuat perubahan
drastik dan holistik dengan memberi keyakinan, peluang dan ruang kepada barisan
pemimpin muda untuk memulih, mengembang dan menjana idea serta input baru
supaya UMNO akan terus relevan, berinovatif dan berdaya saing bagi menghadapi
cabaran samada di peringkat negara mahupun antarabangsa.
Meminta kerajaan mengambil tindakan tegas tanpa
kompromi kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keharmonian dan
ketenteraman awam serta yang menyentuh isu-isu sensitif yang terkandung dalam
kontrak sosial, perlembangaan atau dasar-dasar yang telah diputuskan.
Pengorbanan kita kali ini adalah lebih besar.
Perjuangan kita masa kini adalah lebih penting. Tugas kita kali ini adalah
lebih berat. Kita perlu ketepikan semua niat yang berunsur peribadi. Semua rasa
hasad dengki, semua cerita lama, apa yang tidak kena atau yang tidak dibuat dahulunya,
harus ditolak ke tepi! Kepimpinan yang diterajui bangsa kita mungkin berada di
tahap nyawa-nyawa ikan; lompat ke darat mati, jatuh ke lumpur lumpuh!
Ini bukan masanya untuk kita serahkan sebulat-bulatnya
kepada Taqdir kerana Allah SWT akan membantu kaum yang berusaha untuk membantu
dirinya sendiri.
Ini bukan masanya untuk kita congak dan harap-harap
mengena.
Kita perlu atur, bersatu baru bertawakal Al-Allah
untuk memastikan calon UMNO khususnya dan Barisan Nasional amnya kita
dahulukan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Bismillahirrahmanir Rahim.
"Boleh Jadi Kamu Membenci Sesuatu, Padahal Ia Amat
Baik Bagimu, Dan Boleh Jadi Pula Kamu Menyukai Sesuatu, Padahal Ia Amat Buruk
Bagimu, Allah Mengetahui, Sedang Kamu Tidak Mengetahui."
Sadaqallahal Adzim.
Dengan penuh Taqzim dan Taatsetia, saya mewakili
UMNO Bahagian Pulai, mohon mencadang.
Sekian, Wasallam .
Saya yang menjalankan tugas,
Tengku Putra Haron Aminurrashid
B Tan Sri Tengku Abdul Hamid Jumat,
(Naib Ketua UMNO Bahagian Pulai,
Johor Darul Taqzim).
B Tan Sri Tengku Abdul Hamid Jumat,
(Naib Ketua UMNO Bahagian Pulai,
Johor Darul Taqzim).
1 comment:
Assalam,
Satu kupasan dan isi penceritaan usul yang sungguh baik. Saya terpau untuk meneruskan pembacaan artikel ini apabila ia benar-benar menyentap seketika jiwa saya atas isi kandungan yang dikupas oleh penulis. Majoriti pemimpin UMNO yang sebaris dengan penulis tidak ada kesedaran sebegini sehingga acapkali menggusarkan YAB Perdana Menteri. Pada hemat saya, YAB PM adalah seorang pemimpin kaliber yang cukup bersungguh dalam langkah dan kerja politik beliau. Yang menyedihkan barisan kabinetnya sangat usang dan sudah luput usia relevannya. Saya mahu orang seperti penulis, mara kehadapan, diberi mandat dan tempat yang boleh memberi impak kepada rakyat. teruskan usaha, kuat lagi bekerja, yang lain serahkan lah kebijaksanaan kepada YAB Perdana Menteri.
Post a Comment