- Bismillahirahmanirahim. Asalamualaikum WBT.
- Terlebih dahulu izinkan saya merafakkan kesyukuran kehadrat Allah SWT diatas segala nikmat, hidayah dan hikmahnya keatas kita semua di bulan Ramadhan ini.
- Jelas ini adalah Ramadhan yang paling mencabar kepada kita setelah berhadapan dengan keputusan pilihanraya yang paling menyedihkan ahli-ahli parti Melayu UMNO yang telah menerajui kepimpinan Kerajaan selama lebih enam puluh tahun.
- Sejujurnya ketentuan Allah ini adalah berlandaskan perjalanan kita sebagai sebuah parti selama ini.
- Pemimpin datang dan pergi namun parti UMNO wajib kekal untuk meneruskan perjuangan kita dalam menegakkan Agama Islam, hak orang Melayu serta Bumiputera, dan Kedaulatan tanahair kita.
- Dalam tetapnya keimanan kita kepada Allah yang tidak berganjak, ketaatan kita kepada parti kesayangan ini pula sedang diuji pada tahap yang teramat getir.
- Di awal pasca pilihanraya sahaja tiga dari wakli rakyat UMNO yang telah di beri kepercayaan oleh rakyat khususnya orang Melayu, telah melompat parti kononnya untuk menyelamatkan kuasa Melayu di dalam Kerajaan negeri Johor sedangkan di Negeri Johor selama ini diuar-uarkan tiada istilah orang Melayu, Cina atau India melainkan Bangsa Johor.
- Pada hari ini ramai dari ahli kita yang maseh didalam keadaan tidak percaya akan keputusan PRU14 dan ada juga yang hilang arah tuju sambil menunggu isyarat penting dari pemangku-pemangku pucuk pimpinan yang sedia ada, untuk menyuntikkan semangat perjuangan mereka yang mungkin telah luntur.
- Namun yang mendatang bukanlah kata-kata semangat tetapi sebaliknya arahan untuk memuhasabahkan diri seolah-olah penyebab utama kekalahan kita adalah ahli2 UMNO bawahan dan bukan pemimpin-pemimpin atasan yang telah mencorak strategi kaedah kempen pilihanraya.
- Jesteru saya menyaksikan saban hari kebelakangan ini, ramai dari ahli-ahli UMNO di kalangan rakan dan taulan seperjuangan selama 30 tahun mula keluar dari UMNO dan bercadang untuk berhijrah ke parti PPBM yang baru sahaja menang dibawah panji-panji PKR di PRU yang lepas.
- Ramai dikalangan mereka adalah ketua-ketua cawangan dan ramai juga yang tidak mahu mengadakan mesyuarat kerana hilang semangat.
- Ini tidak di bantu pula dengan keputusan sesetengah ketua UMNO bahagian yang lebih selesa dengan mempunyai jumlah cawangan yang lebih kecil memandangkan kita bukan lagi parti yang memerintah.
- Kepada ahli-ahli seperjuangan dalam UMNO, Keramatnya parti ini adalah kerana kehadhiran dan semangat kita untuk terus berjuang dengan ikhlas tanpa putus asa kerana Allah SWT.
- Parti UMNO adalah satu-satunya parti individu (bukan gabung) yang mempunyai jumlah kerusi yang terbanyak kini dalam Parlimen. Ertinya kita maseh lagi disokong dan diberi kepercayaan untuk memimpin oleh sebahagian besar bangsa kita di Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah.
- Selebihnya dibahagi kepada dua parti Melayu lain yang tidak lama lagi pengundinya akan sedar, ketika hak keistimewaan tersurat mahupun tersirat bangsa Melayu menjadi terhakis dalam penggal yang mendatang ini.
- Dari itu saya berlutut merayu dan memohon kepada semua ahli-ahli UMNO supaya perkasakanlah semangat pemberontak Melayu semulajadi yang mengalir di dalam tubuh badan kjta untuk kekal meneruskan perjuangan di dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ini, yang telah memerdekakan generasi kita dari kerajaan orang putih dahulu.
- Hidupkanlah cawangan-cawangan UMNO kita dengan mengadakan mesyuarat dan teruslah berjuang dalam parti yang sama tanpa memilih parti alternatif.
- Sesungguhnya Allah akan membalas jasa mereka yang beriman kepadaNya dan taat kepada kepercayaan kita.
- Yang berhijrah ke parti lain akan di anak-tirikan oleh mereka dan mereka akan dianggap sebagai orang-orang yang tidak boleh dipercayai kerana telah mengkhianati parti asal mereka untuk bersama pihak yang menang.
- Kalaupun kita kecewa dengan pucuk pimpinan yang telah membawa kita hampir ketahap kehancuran, inilah peluang untuk kita menentukan hala tuju dan pucuk pimpinan parti kita yang baru, pada pemilihan yang akan datang.
- Marilah kita kekal bersama didalam apa keadaan sekalipun, susah mahupun senang kerana Parti kita sangat memerlukan kita diwaktu ini.
- Ambil balik kuasa parti kita dari tangan pemimpin-pemimpin kita yang sudah terlalu lama duduk di tampuk kuasa UMNO. Janganlah ikut telunjuk mereka akan siapa yang harus di angkat dalam berpasukan. Tepuk dada dan tentukan kuasa berada yang ditangan anda, sebagaimana Rakyat umum telah menentukan nasib mereka di PRU14 dengan taqdir Allah.
- Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri - (Al- Ra’d 13:11).
- Selamatkanlah Parti Kita Bersama. Kepada Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Kami Sangat Berharap, Dan Kepada Allah Jua Kami Berserah.
- Wasallamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Tulus Ikhlas Dan Ta’at Setia,
Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid B Tan Sri Tengku Abdul Hamid Jumat. (DPSM, KMN)
Ahli UMNO No 01059553
Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, N47 Kempas (2013-2018)
Ahli UMNO No 01059553
Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, N47 Kempas (2013-2018)
14 Ramadhan 1439H