Tuesday, July 21, 2009

APAKAH SEBAB PERLEMBAGAAN UMNO HENDAK DI PINDA DAN SIAPAKAH YANG SEBENARNYA MENDAPAT KEUNTUNGAN DARINYA?


"Dengan cadangan pindaan yang dilakukan secara musyawarah, bermakna mandat untuk memilih pemimpin pusat akan diserahkan ke tangan lebih ramai ahli Umno sehingga di peringkat akar umbi, sepertimana cadangan sebelum ini.” Inilah yang dikatakan oleh Setiausaha Agong UMNO Malaysia sebagaimana dilaporkan di Bernama kelmarin.

1. APAKAH SEBAB UTAMA PERLEMBAGAAN INI HARUS BERTUKAR MEMBOLEHKAN LEBIH RAMAI AHLI UMNO MEMILIH PEMIMPIN PUSAT? ADAKAH IANYA DENGAN HARAPAN UNTUK MEMBENTERAS RASUAH POLITIK?

Manakah yang lebih ramai? Jumlah tangan yang memberi rasuah untuk mendapatkan tempat di Majlis Kerja Tertinggi UMNO atau tangan yang menerima di kalangan perwakilan yang telah teruk di hina dan dicaci oleh perasuah-perasuah ini di dalam media? Sudah tentu tangan yang menghulur rasuah lebih sedikit jumlahnya dan jika mereka ini di ambil tindakan dengan tegas dan secara telus tanpa memilih kasih, sudah tentu rasuah boleh dihapuskan kerana jika tiada langsung orang yang memberi rasuah, maka tiadalah yang menerimanya menyebabkan para perwakilan terpaksa mengundi juga nama-nama yang mereka fikir benar-benar boleh berkhidmat sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi.

Jangan kita fikir sesekali bahawa rasuah politik boleh dibenteras dengan cara meramaikan ahli2 yang mengundi. Penjenayah politik ini, ideanya sememangnya hebat dan cerdik, mereka akan sentiasa mencari kaedah bagaimana hendak mencapai matlamatnya dan jika ramai ahli yang terbabit dalam pengundian, mereka akan menggunakan system piramid semacam “direct selling” untuk mencapai matlamat mereka itu. Kita sudah melihat bagaimana nama-nama orang-orang yang tidak pernah disebut-sebut di dalam bahagian UMNO kita berkumandang apabila lepas satu, satu perwakilan cawangan merampas microfon untuk mencadangkan nama-nama mereka di mesyuarat Agong UMNO Bahagian yang lepas.

Ini bukan cara untuk membenteras rasuah politik, ini adalah cara untuk MENGFARA’IDKAN dengan lebih luas lagi rasuah politik dan memperkenalkannya pula di kalangan akar umbi. Jika benar usaha itu ikhlas untuk membenteras rasuah politik, maka tindakan tegas seperti perlucutan keahlian tanpa rayuan dan kelucutan kedudukan di dalam kabinet termasuk yang lain-lain hukuman yang lebih berat harus di praktikkan. Bukankah ianya lebih senang menjaga dengan teliti dan tegas tingkah laku para pemimpin yang merasuah dari menjaga 74,000 orang yang mungkin menerimanya nanti.

2. BUKANKAH KAEDAH INI AKAN MEMIHAK KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN ATASAN YANG SEDIA ADA YANG SENTIASA DI PAPARAN TELIVISYEN DAN MEDIA CETAK?

Tentu sekali. Jika kita guna kaedah ini, maka ahli-ahli kabinet dan Timbalan-timbalan menteri yang inginkan kedudukan didalam Majlis Tertinggi akan menggunakan peruntukan kementerian mereka untuk menjelajah satu Semenanjung dan Sabah untuk mengadakan program- program dan membuat sidang akhbar supaya muka dan nama mereka sentiasa di lihat dan dibaca akar umbi memudahkan keadaan untuk mereka di calon dan sekali gus diundi manakala ahli2 yang lain yang sudah lama berkhidmat di kawasan masing-masing tanpa publisiti tetapi berpotensi yang ingin berkhidmat di peringkat pusat pula sudah tentu tidak akan berpeluang untuk dipilih walaubagaimana ikhlas pun mereka itu didalam perjuangannya. Dengan ini ahli-ahli MKT yang memegang jawatan di dalam kerajaan akan terus menerajui UMNO samada sehingga mereka meninggal dunia atau di hentikan dari memegang jawatan kerajaan. Jika ini berlaku, maka dimanakah akan terletaknya keinginan kita untuk melihat Parti menguasai Kerajaan?

3. JIKA 74,000 ORANG YANG AKAN MENGUNDI PUCUK PIMPINAN UMNO, ADAKAH KES-KES TERTENTU YANG ISTIMEWA UNTUK MEMBANTU AHLI-AHLI AKAR UMBI YANG LAYAK, AKAN DILAYAN OLEH PEMEGANG JAWATAN YANG INGIN KEKAL SEBAGAI AHLI MAJLIS TERTINGGI NANTI?

Jangan diharap ianya akan berlaku kerana dengan seramai demikian berbanding dengan 2000 perwakilan, mereka tidak perlu melayan permohonan seorang dua dari ahli-ahli akar umbi kerana jika 1000 orang pun yang tidak mengundi mereka, masih ada lagi 73,000 yang mungkin akan mengundi secara buta oleh kerana kedudukan yang mereka pegang itu. Sebaliknya jika system yang sedia ada ini di kekalkan, jika layanan buruk yang diberikan keatas satu-satu kes yang sahih yang memerlukan perhatian penyandang jawatan itu, maka padahnya akan menjadi buruk untuk pemimpin tersebut kerana untuk mempengaruhi 500 atau 1,000 orang teramat senang berbanding dengan 74,000 orang.

Pernah berlaku seorang pemimpin negeri mendapat pencalonan yang kedua tertinggi di kalangan 7 orang yang bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Tetapi oleh kerana beliau tidak berkhidmat dengan sempurna kepada ahli-ahli UMNO dinegerinya sementara ahli-ahli itu mendapat layanan yang cukup mesra oleh pemimpin-pemimpin negeri lain, maka semasa pemilihan tersebut, Hamba Allah yang mendapat pencalonan kedua tertinggi itu telah mendapat tempat yang ke enam.

Sememangnya sedap bunyinya jika didengar oleh ketua-ketua UMNO Cawangan dan para akar umbi apabila dikatakan bahawa mereka akan diberi kuasa untuk mengundi pucuk pimpinan parti, tetapi tanpa di sedari, mereka sendiri akan kehilangan kenikmatannya apabila ada masalah2 persekolahan atau perkerjaan anak-anak mereka yang memerlukan perhatian yang lebih sedikit dari para pemimpin memandangkan mereka tidak akan di layan di pejabat orang-orang yang mereka tolong naikkan didalam politik, kerana mereka adalah hanya SATU sahaja dari 74,000 orang yang mengundi. Jangan terperanjat jika ada nanti yang menjawab dengan sinis, “kalau saya nak tolong 74,000 orang macam awak yang mengundi saya, bila yang saya nak buat kerja saya ini?”
4. APAKAH KOS YANG DIPERLUKAN DIDALAM PEMILIHAN GERGASI SEPERTI INI, YANG MELIBATKAN LOJISTIC DAN HARI PENCALONAN YANG BERASINGAN DARI MESYUARAT CAWANGAN DAN BAHAGIAN?

Kesemuanya ini harus dihalusi dan ditimbang sebaik-baiknya sebelum kita membuat keputusan samada menyokong atau tidak pindaan Perlembagaan yang melibatkan pemilihan secara gergasi ini.

Siapakah yang sebenar-benarnya mendapat faedah dan menafaat dari Pindaan Perlembagaan ini? Tepuk dada tanya selera tetapi apabila keputusan sudah kita buat umpamanya di atas pengaruh beragenda sesuatu pihak, jangan disalahkan sesiapa lagi kerana kita yang harus bertanggungjawab diatas keputusan kita sendiri mengenai Pindaan Perlembagaan ini.

1 comment:

ATAS PAGAR said...

semua pun untung, tapi KJ yang akan rugi... betul tak???