Pilihanraya umum yang ke-12 telah pun berakhir dan keputusannya sudahpun diketahui umum. Sungguh memeranjatkan!.
Pada malam 8 Mac 2008, saya dan rakan-rakan yang telah memerhatikan Bilik Gerakan BN Pengkalan Rinting (A) di kediaman saya selama 37 hari di Pulai Johor, telah bersetuju untuk memerhatikan keputusan-keputusan pilihanraya dari seluruh Negara di Saujana, iaitu kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Johor. Sambil membuat persiapan, saya mengikuti rancangan di beberapa rangkaian televisyen Malaysia dan mendapati bahawa berulang-ulang kali keputusan kemenangan yang sama dari Sabah dan Sarawak diumumkan. Dengan rasa kurang senang, kami melayari laman maya (internet) untuk mendapat keputusan-keputusan terkini dari tempat lain. Sebagaimana yang kami sangkakan, laman berita dimaya memberi keputusan dengan pantas dan tepat membuat rasa tidak sedap hati itu bertukar menjadi realiti. Banyak kerusi-kerusi di 5 buah negeri telah jatuh ketangan pembangkang. Keputusan-keputusan ini belum dikeluarkan di televisyen yang masih lagi mengulangi keputusan kemenangan yang sama selama setengah jam.
Kami pun membuat keputusan untuk menangguhkan rancangan kita ke Saujana oleh kerana yakin hanya keputusan dari rangkaian televisyen utama yang kurang telus dan tepat sahaja yang akan ditayangkan disana.
Keputusan untuk ke Saujana hanya dibuat setelah kami mendapat tahu bahawa negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sudah jatuh ketangan pembangkang dan negeri Perak juga menuju ke nasib yang sama.
Sampai sahaja kami di Saujana, sepertimana yang di jangkakan, ramai yang berada di sana masih tidak tahu menahu tentang kejatuhan Kedah dan Selangor ketangan pembangkang dan sebaik ianya dimaklumkan, suasana bertukar menjadi muram dan gusar kerana dengan Kelantan dan Pulau Pinang, ia bererti 4 buah negeri sudah bukan di bawah pemerintahan kita lagi. Kemudiannya dimaklumkan juga bahawa Perak telah jatuh ketangan lawan dan di Wilayah Persekutuan, kita telah kalah 10 dari 11 kerusi Parlimen.
Tiba-tiba mee rebus dan pasembur yang di hidangkan di Saujana terasa tawar. Kehangatan darah yang mengalir di tubuh kita pun seolah-olah terasa beku.
Alhamdulillah, di Johor, kita menang 25 dari 26 kerusi parlimen dan 50 dari 56 kerusi DUN. Tetapi tumpuan beralih kepada keputusan yang tidak disangka-sangka dikawasan dan negeri-negeri lain.
Dalam mencari-cari mengapa terjadinya tsunami politik yang melanda kami ini, kami diberitahu di antaranya mungkin kerana 82 ketua-ketua bahagian tidak terpilih untuk menjadi calon-calon dipilihanraya yang lepas. Selain dari mereka yang dengan rela mengundur diri seperti Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Ghaffar Garahu, adakah yang lain ikhlas dan menerima keputusan itu dengan penuh rela hati? Mungkinkah penyokong-penyokong mereka boleh menerima keputusan untuk tidak mencalonkan ketua mereka itu dan terus berkerja keras untuk calon yang lain? Mereka sahaja yang boleh menjawabnya.
Diperhatikan juga ramai dikalangan calon-calon pula yang telah melobi dan berjaya menjadi calon di kawasan atau negeri tempat mereka dilahirkan namun mereka menetap sepenuh masa di Kuala Lumpur dan tidak pernah peduli untuk mengunjungi kawasan yang mereka hendak mewakili waimah seminggu sekalipun. Sedangkan manusia yang berpasanganpun memerlukan lebih kurang setahun untuk berkenalan sebelum membuat keputusan untuk bernikah, adakah mereka fikir jangkamasa dua minggu berkempen itu cukup untuk berkenalan dan bermesra dengan 50 ribu pengundi dikawasan baru itu? Adakah mereka telus dan ikhlas kepada Perdana Menteri apabila mereka melobi dan meyakinkan beliau tentang kemenangan yang boleh diraih oleh mereka di tempat yang mereka sendiri dianggap seperti orang asing? Adakah ia adil pula kepada mereka-mereka yang sudah mencurahkan jiwa, raga dan segala kemewahan demi untuk bangsa Melayu di kawasan masing-masing, dan menaiki hairaki UMNO dibahagiannya secara berperingkat-peringkat dari bawah selama 20 tahun semata-mata untuk melihat orang luar menjadi calon di kawasannyua itu? Inilah persoalan yang selalu bermain-main dibibir orang-orang tempatan dan penganalisa politik UMNO amnya di seluruh Negara.
Turut diperhatikan ialah trend dimana setiausaha-setiausaha politik, pegawai-pegawai khas menteri-menteri dan setiausaha eksekutif Perhubungan Negeri yang mungkin tidak memegang jawatan tinggi didalam bahagian tetapi diberi tempat atau dicadangkan untuk menjadi calon. Ini bererti perkhidmatan mereka kepada Menteri lebih di hargai dari perkhidmatan pemimpin-pemimpin tinggi di bahagian yang dipilih oleh akar umbi, kepada masyarakatnya.
Di pasca pilihanraya setelah kita mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarah (kekalahan 5 negeri dan 10 dari 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan), kita diakar umbi pula disuruh bermuhasabah diri oleh Naib-naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Persoalannya sekarang,siapakah yang harus berbuat demikian memandangkan di peringkat bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan, kita telah bertungkus lumus dan bermati-matian untuk menegakkan keunggulan parti dan segala rumusan dan suara-suara sumbang dari peringkat bawahan sudahpun di utarakan melalui usul-usul dan ucapan penangguhan disetiap Persidangan Agung UMNO Bahagian-bahagian untuk dibawa keperingkat pusat. Adakah usul-usul dan cadangan-cadangan dari peringkat bawah ini diambil perhatian dengan teliti oleh pihak MKT? Kerajaan mempunya berbagai-bagai agensi risikan di bawah mereka dari JASA, Cawangan Khas, risikan tentera, BKN, Kemas dan lain-lain. Adakah hasil risikan mereka ini yang diajukan kepada pihak atasan diambil kira langsung? Apa pula dengan laporan-laporan dari Pengerusi-pengerusi Perhubangan Negeri-negeri yang berkenaan? Hukum akal yang semporna akan membuktikan jika ianya diambil kira secara menyeluruh, mustahil kita boleh menerima azhab kekalahan di 5 negeri dan Wilayah Persekutuan.
Maka dari pandangan kami di peringkat bawahan ini, yang SEHARUSNYA MEMUHASABAH DIRI adalah pemimpin-pemimpin atasan khususnya Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Pengerusi-pengserusi Perhubungan UMNO Negeri yang turut menghadiri mesyuarat tertinggi UMNO. Y.A.B. Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO tidak boleh dibenarkan memikul tanggungjawab ini berseorangan melainkan jika masalah-masalah dan petanda-petanda cemas atau nasihat yang telah diajukan kepada beliau oleh ahli-ahli MKT tidak dihiraukan dan keputusan secara keseorangan diambil.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor iaitu Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo telah mengambil langkah yang tepat dalam meletakkan jawatannya sebagai peneraju kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional Selangor. Langkah ini wajib diikuti oleh Pengerusi-pengerusi Perhubungan UMNO dan BN negeri Kedah, Perak dan Kelantan. Sebagai Pengerusi-pengerusi, merekalah yang seharusnya arif tentang masalah yang di alami oleh BN di negeri masing-masing dengan jentera-jentera kerajaan yang lengkap dibawah pemerintahan kita untuk membantu mereka. Perlu di ingat pihak pembangkang tidak mempunyai kelebihan menggunakkan jentera-jentara ini. Apakah laporan atau hasil dari “election mock run” yang dibuat oleh mereka ini? Siapakah “sample” rakyat yang di jadikan pengundi? Adakah semuanya laporan baik yang dipersembahkan di dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi?
Jika mereka benar-benar ikhlas dalam hendak mempertahankan Presiden UMNO dan Perdana Menteri kita, maka merekalah orang-orang yang pertama tanpa teragak-agak seharusnya meletakkan jawatan supaya tekanan terhadap Perdana Menteri untuk mengundur diri menjadi hambar dan kurang bermakna. Naib-naib Presiden, Ketua Penerangan dan yang lain-lain di dalam MKT seharusnya dengan nada yang sama menuntut Pengerusi-pengerusi Perhubungan ini (jika memberi laporan salah di dalam mesyuarat) untuk mengundur diri supaya maruah dan integriti yang selama ini ditekankan oleh Perdana Menteri didalam kerajaan kita sentiasa di jaga. YAB Perdana Menteri telus dan ikhlas dalam usahanya untuk menegakkan integriti didalam kerajaan beliau tetapi malangnya pemimpin-pemimpin yang dibawah beliau tidak mahu mendukung asprisai beliau itu. Ini menunjukkan bahawa kepentingan peribadi mereka adalah lebih mustahak dari kepenting parti dan sokongan mereka kepada Datuk Seri Presiden adalah semata-mata sokongan yang palsu.
Sebaliknya, untuk mengelakkan diri dari mengambil tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan perwaklian UMNO, mereka mengambil jalan senang untuk menyuruh kita pula supaya “tidak menuding jari”. Perlu mereka menginsafi andaikata Pengerusi-pengerusi Perhubungan negeri-negeri ini lebih bertanggungjawab diatas kekalahan mereka, maka akar umbi sendiri akan membela Datuk Seri Presiden dari menerima tekanan yang kuat.dari mana-mana pihak. Kebiasaannya, orang yang bersalah samada secara langsung atau tidak yang selalu menyuruh orang lain supaya jangan menuding jari.
Ada juga dikalangan pemimpin-pemimpin yang saya sanjungi menggunakan perkataan “hikmah” dan “ taqdir “sebagai alasan. Apabila Taqdir Illahi sudah dimasukkan didalam sesuatu perbahasan, sebagai umat Islam yang taat, saya terpaksa akur tetapi saya tahu bahawa pertanggungjawaban juga dituntut di dalam Agama Islam. Ironinya, pemimpin yang saya masih sanjung ini ( kerana beliau bersifat terbuka dengan perbahasan walaupun ianya bertentangan dengan pandangan beliau ) pernah memegang jawatan dalam jawatnakuasa kira-kira wang Negara. Seharusnya beliau lebih menekankan tentang pertanggungjawaban didalam tugas disamping kewangan walaupun ada hikmah disebalik semuanya yang berlaku. Tidak mungkin alasan hikmah itu boleh menenangkannya jika wang Negara telah tersalah guna dan beliau pula yang ditanggungjawabkan untuk mencari puncanya.
Berbalik kepada persoalan siapakah yang harus memuhasabah diri. Ramai yang hendak melakukan postmortem. Postmortem biasanya dilakukan kepada mayat untuk mendapatkan sebab-sebab kematian dan bukti-buktinya boleh digunakan didalam kes-kes pembunuhan untuk membawa sipenjenayah itu kemuka pengadilan.
Andaikata mayat itu dilanggar oleh bas penumpang yang laju, umpamanya, maka postmortem tidak perlu dilakukan kerana sudah tentu simati itu meninggal dunia kerana kepalanya pecah dan tulangnya hancur dan bukan matinya kerana kencing manis atau darah tinggi.
Maka, dalam konteks politik pula, jika kita sudah tahu sebab-sebab kekalahan ini, buat apa lagi perlu dipostmortemkan? Jika ia dilakukan juga, apakah mereka bersedia bertanggungjawab apabila hasil postmortem itu menunjukkan kelemahan mana-mana pihak atau hanya mengenal pasti kelemahan itu untuk tujuan simpanan fail? Jika kesilapan yang besar boleh kita maafkan, maka pihak yang ditanggungjawabkan pada masa-masa akan datang tidak akan mengambil terlalu berat akan amanah yang dipikulnya nanti. Allahu Alam.
Maka saya merayu kepada Pengerusi-pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri-negeri Kedah, Perak dan Kelantan untuk mengikuti jejak Dato’ Seri Dr Khir Toyo demi untuk mendukung dan mempertahankan integriti parti selaras dengan aspirasi YAB Datuk Seri Presiden. Syabas Dato’ Seri Dr Khir kerana andalah yang benar-benar menyokong kepimpinan Presiden dan menjaga integriti sebagai pemimpin UMNO.
Presiden UMNO sahaja mungkin tidak harus dipertanggungjawabkan. Perbahasan ini boleh diterima walaupun pahit, tetapi ahli-ahli MKT yang gagal membantunya harus mengambil tanggungjawab dan berundur dari menerajui atau menawarkan diri untuk duduk di kerusi empok Majlis Kerja Tertinggi UMNO di masa akan datang. Insha’Allah, para perwakilan sudah celik dan tahu tentang perkembangan diperingkat UMNO pusat dan akan lebih berwaspada apabila memilih calon-calon yang menawarkan diri dipemilihan akan datang.

No comments:
Post a Comment